yasmin lawsuit

Monday, February 22, 2010

Sirah Imam 4 Mazhab

Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu’man bin Thabit bin Zhuthi’ lahir pada tahun 80H/699M di Kufah, Iraq iaitu sebuah bandar yang sudah sememangnya terkenal sebagai pusat ilmu di ketika itu. Ianya diasakan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud radiallahu –anhu (32H/65M), seoarang sahabat zaman Rasulullah saw. Ayahnya seorang pedagang besar, sempat hidup bersama Ali bin Abi Talib ra. Abu Hanifah sekali-sekala ikut turut serta dalam urus-niaga ayahnya, akan tetapi minatnya lebih mendalam ke arah membaca dan menghafal Qur’an.
Abu Hanifah di satu hari telah berjumpa dengan seorang tokoh agam besar di ketika itu, iaitu Imam Ash Sya’bi dan melihatkan kepintaran dan kecerdasan yang terpendam dalam fikiran muda Abu Hanifah, Imam AsySya’bi menasihatkan beliau agar lebih banyak mencurahkan usaha kedalam bidang ilmu-ilmu Islam. Dengan nasihat dan dorongan Asy Sya’bi-lah Abu Hanifah mula menceburkan dirinya secara khusus mempelajari ilmu-ilmu Islam.
Abu Hanifah mula belajar dengan mendalam ilmu-ilmu qiraat, ilmu arab, ilmu kalam dan lain-lain. Tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah bidang ilmu fiqh dan hadith; dan beliau banyak meluahkan tenaga mendalaminya. Abu Hanifah meneruskan pelajarannya dalam bidang fiqh dan hadith dengan bergurukan kepada Asy Sya’bi dan beberapa tokoh-tokoh ilmuan di Kufah. Menurut riwayat jumlah gurunya di Kufah sahaja berjumlah 93 orang.
Beliau kemudainnya berhijrah ke Basrah untuk berguru pula dengan Imam Hammad bin Abi Sulaiman, Imam Qatadah dan Imam Shu’bah. Setelah sekian lama berguru dengan as-Shu’bah yang ketika itu dikenal sebagai Amir al-Mukminin fii Hadith (Pemimpin ummat bidang hadith), beliau diizinkan gurunya untuk mengajar hadith kepada orang ramai. Berkata as-Shu’bah: Sebagaimana aku mengetahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari, aku juga ketahui dengan pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasang bersama.
Abu Hanifah tidak hanya berpuas hati dengan pembelajarannya di Kufah dan Basrah. Beliau kemudiannya turun ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Disana beliau duduk berguru dengan Imam Atha bin Abi Rabah. Kemudiannya Abu Hanifah duduk pula bersama Imam Ikramah, seorang tokoh besar di Mekah, yang juga merupakan anak murid kepada Abdullah ibnu Abbas, Ali bin Abi Talib, Abu Hurairah dan Abdullah ibnu Umar ra-anhum. Kehandalan Abu Hanifah dalan ilmu-ilmu fiqh dan hadith diiktiraf oleh Imam Ikramah sehingga beliau kemudiannya membenarkan Abu Hanifah menjadi guru kepada penduduk-penduduk Mekah.
Abu Hanifah kemudian meneruskan pengajinnya ke Madinah bersama Imam Baqir dan Imam Ja’afar as-Sadiq. Kemudian beliau duduk bersebelahan dengan Imam Malik bin Anas, tokoh besar kota Madinah ketika itu. Walaupun Abu Hanifah 13 tahun lebih dewasa dari Imam Malik, ini tidak menghalangnya untuk turut serta belajar. Apabila guru kesayangannya Imam Hammad meninggal dunia di Basrah pada tahun 120H/738M, Abu Hanifah telah diminta untuk mengganti Hammad sebagai guru dan sekaligus tokoh agama Basrah. Melihatkan tiada siapa lain yang akan meneruskan perjuangan ilmu Imam Hammad, Abu Hanifah bersetuju kepada jawatan tersebut.
Mulai disinilah Abu Hanifah mula mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam. Orang ramai dari serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Pengaruhnya juga mula tersebar luas sebagai Imam Mujtahid yang besar. Disamping mengajar, Imam Abu Hanifah adalah seorang pedagang dan beliau sangat bijak dalam mengadili antara dua tnggung-jawabnya ini, sebagaimana keterangan anak muridnya al- Fudail ibnu Iyab:
Adalah Abu Hanifah seorang ahli hukum, terkenal dalam bidang fiqh, banyak kekayaan, suka mengeluarkan harta untuk siapa yang memerlukannya, seorang yang sangat sabar dalam pembelajaran baik malam atau siang hari, banyak berdiam diri, sedikit berbicara terkecuali datang kepadanya sesuatu masaalah agama, amat pandai menunjuki manusia kepada kebenaran dan tidak mahu menerima pemberian penguasa.
Dimasa pemerintahan Abbasid, Khalifah al-Mansur telah beberapa kali meminta beliau menjawat sebagai qadi kerajaan. Beliau tetap berkeras menolak jawatan itu. Jawapan Abu Hanifah membuatkan Mansur marah, lalu dia menghantar Abu Hanifah ke penjara. Akan tetapi tekanan dari orang ramai menyebabkan Mansur terpaksa membenarkan Abu Hanifah meneruskan pengajarannya walaupun dalam penjara. Apabila orang ramai mula mengerumuni penjara untuk belajar dengan Abu Hanifah, Mansur merasakan kedudukannya mula tercabar dan tergugat. Mansur merasakan Abu Hanifah perlu ditamatkan hayatnya sebelum terlambat.
Pada usia 70 tahun, akhirnya Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada bulan Rjab 150H/767M ketika dalam penjara, disebabkan termakan makanan yang diracuni orang. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini dirasai olah dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah. Imam Abu Hanifah mempunyai beberapa orang murid yang ketokohan mereka membolehkan ajarannya diteruskan kepada masyarakat. Antara anak-anak murid Imam Abu Hanifah yang ulung ialah Imam Zufar (158H/775M), Imam Abu Yusuf (182H/798M) dan Imam Muhammad Hasan as-Shaibani (189H,805805M).

Imam Malik bin Anas

Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 63H/711M. Beliau dilahirkan dalam sebuah kota yang ketika itu terkenal sebagai pusat ilmu–ilmu Islam. Sejarah keluarganya juga ada hubung-kait dengan ilmu Islam, dengan datuknya sendiri sebagai perawi dan penghafal hadith yang terkemuka. Pakciknya juga Abu Suhail Nafi adalah seorang tokoh hadith Madinah ketika itu, dan dengan pakciknyalah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Abu Suhail Nafi adalah seorang tabien yang sempat menghafal hadith dari Abdullah ibnu Umar, A’isyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Said al-Khudri.
Selain Nafi, Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Imam Ja’afar as Sadiq, cucu kepada al-Hasan, cucu kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Malik juga duduk belajar di Masjid Nabawi, berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salamah ad-Dinar, Yahya bin Saad dan Hisham bin Urwah. Mereka ini semua adalah anak murid kepada sahabat-sahabat Rasulullah saw. Suasana kehidupan Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu dipenuhi dangan para tabien amatlah menguntungkannya. Para tabien ini ialah mereka yang sempat bersama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka sempat belajar, mendengar hadith dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan kota Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat hajinya.
Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi. Ajarannya menarik sejumlah orang ramai dari serta daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai mufti Madinah di ketika itu. Imam Malik juga adalah yang pertama dalam mengumpulkan dan membukukan hadith-hadith Rasulullah saw dalam kitabnya Al Muwattha’. Kitabnya itu menjadi hafalan dan rjukan ramai sehinggakan pernah dikatakan oleh Imam Syafie: tiada pernah wujud sebuah buku di bumi yang paling hampir kepada al-Quran melainkan kitab Imam Malik ini.
Antara tokoh besar yang belajar bersama Imam Malik ialah Imam Abu Hanifah dari Kufah. Selain itu diriwayatkan sebanyak 1300 tokoh-tokoh lain yang duduk bersama menuntut ilmu bersama Imam Malik di Masjid Nabawi. Antaranya termasuklah Muhammad bin Idris, yang kemudiannya terkenal sebagai nama Imam Syafie. Ketinggian ilmu Imam Malik juga diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hambal: Malik adalah penghulu dari para penghulu ahli ilmu dan dia pula seorang imam dalam bidang hadith dan fiqh. Siapakah gerangan yang dapat merupai Malik?
Imam Malik pernah dihukum oleh gabenor Madinah pada tahun 147H/764M kerana beliau tidak bersetuju malah menghukum fatwa kerajaan Abbasid sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasid ketika itu telah membuat fatwa sendiri iaitu semua penduduk perlu taat dan berbai’ah kepada pemimpin; dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh talak atas isterinya secaca automatis! Memandangkan suasana rakyat yang lebih taatkan ulama’ dari pemimpin di kala itu, pemerintah Abbasid telah memaksa Imam Malik mensahkan fatwa mereka. Imam Malik enggan malah mengeluarkan fatwa menyatakan bahwa talak sedemikian tidak sah. Imam Malik ditangkap dan di pukul oleh gabenor Madinah sehingga bahunya patah dan terkeluar dari kedudukan asalnya. Kecederaan ini amatlah berat sehinggakan beliau tidak lagi dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada, lalu dibiarkan sahaja di tepi badannya.
Imam Malik kemudiannya di bebaskan dan beliau kembali mengajar di Madinah. Di ketika itu juga beliau menghabiskan saat-saat kehidupannya dengan mengumpulkan dan menulis hadith-hadith Rasulullah sallallhu-alaihi-wasallam dan athar-athar (sebutan-pendapat) para sahabat radiallhu-anhum. Pada usia 86 tahun, Imam Malik meninggal di kota kelahirannya Madinah, pada 11 Rabiul-Awal tahun 179H/796M. Di antara anak-anak murid beliau yang ditinggalkan ialah Abdul Rahman al-Qasim at-Tashri (191H/807M), Imam Ibnu WahabAbu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Imam Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).


Imam Asy-Shafie

Imam Shafie lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M di atas nama Muhammad bin Idris ash-Shafie. Beliau mempunyai pertalian darah Quraish dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah untuk ibadah haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana menuntut ilmu. Di Mekah ash-Syafie memulakan perguruannya kepada Muslim bin Khalid al-Zanji, mufti kota Mekah di ketika itu dan juga kepada Sufyan bin Uyayna.
Kitab ilmu yang paling terkemuka ketika itu ialah Al-Muattha’ karangan Imam Malik, dan ash-Syafie dalam usia mudanya 15 tahun telah menghafal keseluruhan kitab tersebut. Ash-Syafie kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, Imam Malik bin Anas. Ketika itu ash-Syafie berusia 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kematiannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan ash-Syafie sebagai murid terpintar Imam Malik mulai diiktiraf ramai. Ash-Syafie mengambil alih sebentar kedudukan pejabat oleh Gabenor Yaman. Jawatan ash-Syafie tidaklah lama di Yaman, apabila beliau dituduh dan difitnah sebagai pengikut dan pendokong ajaran Syiah. Disamping itu berbagai konspirasi lain di jatuhkan ke atasnya, sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara Bagdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.
Ash-Shafie dibawa menghadap ke Khalifah Harun al-Rasyid dan berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan asy-Syafie membela dirinya dengan berbagai hujjah-hujjah agama menyebabkan Khalifah Harun sendiri tertarik kepadanya. Asy-Syafie dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Ash-Syafie telah berkenalan dengan tokoh-tokoh Imam Abu Hanifah dan duduk berguru dengan mereka, terutamanya dengan Imam Muhammad al-Hasan asy-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang utama bagi ash-Syafie, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membandingkan antara dua ajaran fiqh Islam, iaitu ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.
Pada tahun 188H/804M, ash-Syafie kembali berhijrah ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Mekah dan di sana beliau di beri penghormatan sebagai tokoh besar dan dipelawa untuk memberi ceramah dan kuliah. Ash-Syafie kini mula diiktiraf sebagai seorang Imam, dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu-Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh penduduk Mekah kerana kebiasaan mereka kepada ajaran asal Imam Malik.
Pada tahun 194H/810M, Imam Syafie kembali semula ke Baghdad dan beliau di pelawa untuk memegang jawatan qadi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam Syafie kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana. Daud bin Ali pernah di tanya akan kelebihan Imam Syafie berbanding tokoh-tokoh lain di ketika itu, maka beliau menjawab: ash-Syafie mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Dia seorang bangsawan, dia mempunyai agama dan I’tiqad yang benar, seorang yang sangat murah hati , mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ Rashidun dan amat pandai mengarang.
Dalam usahanya untuk cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, beliau menghadapi berbagai tentangan dari pengikut-pengikut Imam Malik yang taasub kepada guru mereka. Di suatu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kulaih Maghribnya di Mesir, Imam Syafie telah dipukul oleh pengikut-pengikut Imam Malik yang fanatik sehingga menyebabkan beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia. Di ketika itu, Imam Syafie juga sendang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.
Pada usia 54 tahun, Imam Syafie meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir, meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh iaitu kitab al-Risala. Kitab ini adalah yang terulung dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan dan mengistimbatkan hukum dari satu dalil yang ada. Selain itu Imam Syafie juga meninggalkan kitab fiqhnya yang masyhur, al-Umm. Ajaran Imam Syafie diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Imam Abu Yakub al-Ruwati (231H/ 846M), Imam Rabi bin Sulaiman al-Marali (270H/884M), Imam Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M) dan terutama ialah Imam Ahmad bin Hambal (241H/856M).


Imam Ahmad bin Hambal

Imam Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada tahun 164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur 30 tahun. Ahmad kemudiannya di besarkan oleh ibunya Saifiyah binti Maimunah. Ahmad bin Hambal menghafal Quran sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun dia sudah juga menjadi terkenal sebagai penghafal hadith. Ahmad bin Hambal meneruskan pengajian hadithnya kepada sekian ramai guru dan beliau di akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal lebih dari sejuta hadith-hadith, termasuk barisan nama-nama perawinya. (Even though we do not deny that Imam Ahmad had memorised hadith since young age, but the amount saying more than a million is only an assumption according to an ustaz who teaches this book. There is no confession from Imam Ahmad himself.)
Pada tahun 189H/ 805M Ahmad bin Hambal berhijrah ke Kota Basrah untuk menuntut dan tidak lama kemudian ke Mekah dan Madinah pula. Di sanalah beliau sempat duduk berguru dengan Imam Shafie. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Imam Abu Yusuf, Husyain ibn Abi Hazim al-Washiti, Umar ibn Abdullah ibn Khalid, Abdul Rahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H, Ahmad bin Hambal ke Yaman pula untuk berguru pula dengan Imam Abdur Razzak ibn Human (pengarang kitab hadith ‘Musnad Abdur Razak’). Dalam perjalanannya ini, Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama.
Ahmad bin Hambal kembali semula ke Baghdad dan kini mula mengajar dan bertindak sebagai guru. Kehebatannya sebagai penghafal hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Daud. Al-Qasim ibn Salam berkata : Ahmad bin Hambal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum, dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui tentang as-Sunnah selain dia. Dia tidak pernah bersenda gurau, dia selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.
Imam Ahmad bin Hambal mengalami berbagai pengalaman hidup dalam penjara kerana kekerasannya menentang fahaman Mu’tazilah yang menyatakan al-Quran itu adalah suatu makhluk. Lebih memburukkan lagi ialah apabila fahaman ini diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu dan dia memaksa Imam Ahmad untuk mensahkan pendapat tersebut. Imam Ahmad tetap menentang dan dia dipukul dan dirotan dalam penjara sehingga tidak sedarkan diri.
Ketegasan Imam Ahmad dan tekanan dari orang ramai akhirnya menyebabkan pihak pemerintah terpaksa membebaskan beliau. Imam Ahmad kemudian meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M. pada usia 77 tahun. Imam Ahmad meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu Musnad Ahmad yang mengandungi 50,700 riwayat-riwayat hadith Rasulullah s.a.w. dan athar-athar para sahabat ra-anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan Imam Ahmad, iaitu Abdullah ibnu Ahmad ibnu Hambal dan Saalih ibnu Ahmad ibnu Hambal

1 comment:

  1. Terima Kasih atas tulisan ini tetapi ada masalah dari segi fakta,
    Jika Imam Abu Hanifah lahir pada tahun 80H/699M, dan dikatakan "Walaupun Abu Hanifah 13 tahun lebih dewasa dari Imam Malik," tetapi Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 63H/711M.
    Sila semak fakta ini.
    Wallahu A'lam.

    ReplyDelete